Monday, February 3, 2014

Pelan Hidup. Dari Mana Nak ke Mana?

credit


"Pelan hidup. Dari mana nak ke mana?" 

Tersentap membaca kalam ini saat aku membaca perkongsian oleh seorang teman, melontar persoalan murabbinya.

Aku cuba menjawab persoalan itu sendiri. Menggunakan deria rasa hati. Tidak pula aku melontar kata. Berbicara dengan hati ini.

Aku tak menemukan jawapan yang jelas. Pelan hidup? Apakah. Pernah pulak aku berfikir sejauh itu. Hanya punya angan-angan tapi tidak pula punya strategi yang kemas dan jelas.

Keep Calm and Zikrullah.

Pelan hidup. Apa sebenarnya yang aku inginkan dalam kehidupan ini. Adakah aku akan mensia-siakan usia ini untuk bermaksiat dan menderhakai Penciptaku. Adakah mungkin aku mensia-siakan kudrat ini hanya untuk bernafsi-nafsi.

Tidak. Bukan itu matlamat aku. Takkan sesekali aku mengakhiri kehidupan ini dengan sesuatu yang jelas-jelas menyebabkan aku ditimpa kesusahan pada hari pengadilan nanti. Jadi apa sebenarnya tujuan hidup ini yang sebenarnya?


Aku Sebagai Khalifah

Hakikatnya, kita diciptakan Allah sebagai khalifah di muka bumi ini. Beribadat kepadanya. Penciptaan aku dan kamu di dunia ini bukanlah untuk tujuan yang sia-sia. Kita punya tanggungjawab!

Firman Allah SWT,


"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” QS Adz-Dzariyat 51 : 56

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku jadikan di bumi seorang Khalifah. Berkata Malaikat: Adakah Engkau hendak jadikan di muka bumi ini orang yang melakukan kerosakan dan menumpahkan darah, sedangkan kami sentiasa bertasbih dan bertaqdis dengan memuji Engkau? Jawab Allah: Aku lebih mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.” (Al-Baqarah:30)


Dalam kalangan makhluk ciptaan Allah, manusia telah dipilih oleh Allah melaksanakan tanggungjawab tersebut. Ini sudah tentu kerana manusia merupakan makhluk yang paling istimewa. 

Tanggungjawab manusia sebagai hamba dan khalifah kepada Allah secara khususnya meliputi perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupan. 

Tanggungjawab 

  • Mengabdikan diri kepada Allah menerusi beriman kepada Allah dan melakukan amal soleh dalam bentuk yang sempurna.
  • Sebagai hamba, manusia perlu melaksanakan amanah Allah, memelihara serta mengawal agama Allah serta ajaran Allah SWT. 
  • Ke arah melaksanakan amanah sebagai khalifah Allah ini, manusia hendaklah menyedari dan memahami bahawa kewajipan berdakwah dengan menyebarkan dan memperluaskan ajaran Islam ke arah menegakkan syiar Islam serta meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini, dengan berperanan menegakkan amar makruf serta mencegah kemungkaran.
  • Bertanggungjawab menjauh dan memelihara diri dan keluarga daripada masuk ke dalam neraka.

    Firman Allah Ta’ala :

    “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam). Dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Ali Imran: 104)

    Apabila tugas menyeru kepada Islam dilakukan secara meluas dan menyeluruh dan dapat memberi kesedaran dan keinsafan nescaya akan dapat mewujudkan manusia yang faham akan tanggungjawab dan menjadi manusia yang bertanggungjawab.

    Sebagai khalifah Allah, yang dimaksudkan dengan wakil Allah, wajiblah manusia menjaga agama dengan melaksanakan dua perkara:

    i) Menegakkan Islam. Dengan berdakwah kepada manusia seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA dan membuktikan kebaikan ajaran Islam dan hukumnya di samping mempertahankan agamanya dari ancaman musuh.

    ii) Melaksanakan Islam. Dengan mengamalkan perintahNya dan meninggalkan laranganNya, dalam semua urusan termasuk juga urusan kemasyarakatan dan kenegaraan.

    Muhasabah

    Jika hari ini aku berseronok dengan maksiat. Kebahagiaan aku itu takkan kekal lama. Malah, saat aku bangkit dari tidur, dada terasa sesak, jiwa merasa tandus, akal terasa lemah.

    Kosong. Kosong.

    Hakikat hidup bertuhan, jatuh bangunnya iman itu perkara biasa. Kita ini seorang Pendosa. Bila mana kita teringat untuk kembali pada-Nya, tanda Dia masih cinta! Ya, Allah masih menyayangi kita. Memberi ruang dan peluang seluasnya untuk kita bertaubat dan kembali dekat dengan-Nya. Itulah hakikat kebahagiaan seorang hamba.



    1 comment

    February 3, 2014 at 11:31 PM

    Astaghfirullah..
    Pelan hidup..tersentap membacanya.
    Baru memikirkan adakah jalan/cara/tindakan kini membawa ke pelan yang benar dalam landasannya.
    jazakallah perkongsiannya.

    Post a Comment