Friday, October 21, 2011

Mahasiswa Muslim Luar Biasa!

Motivasi Siswa !
Hiasan..
Petikan tulisan penulis di LangitIlahi.Com

Mahasiswa, apakah perasaan anda sekiranya di fakulti anda pelajar yang terbaik dikuasai oleh pelajar bukan Islam? Anda ambil perubatan, kejuruteraan, peguam, IT, Matematik, Statistik, Arkitek, dan sebagainya, lalu pelajar bukan Islam mendominasi kecemerlangan meninggalkan pelajar Melayu Muslim. Pelajar dari UiTM dan dari pengajian Islam mungkin tidak merasai apa-apa dengan situasi ini. Seorang sahabat saya yang bertugas sebagai Pendaftar di sebuah IPTA menceritakan bahawa di universitinya semakin ramai pelajar bukan Islam mendominasi kecemerlangan di fakulti walaupun bilangan mereka minoriti di kampus.

Singa Yang Ditikuskan?

Apakah sudah tidak ada lagi kualiti mahasiswa muslim yang hebat dan luarbiasa di kampus? Atau mereka sudah menjadi anak singa yang telah ditikuskan? Seorang sahabat saya saat belajar di kampus pada sekitar tahun 1996, belajar di Jabatan Kimia, Fakulti Sains Fizis Gunaan, UKM dalam bidang Sarjana Muda Sains, Kimia. Sepanjang semester pelajar bukan muslim dinobat sebagai pelajar cemerlang kimia. Lalu beliau bertekad untuk memecahkan tradisi itu. Hujahnya mudah…


“Al-Islamu ya’lu wa laa yu’la ‘alaihi”
Ertinya : “Islam itu tinggi dan tiada yang dapat menandingi ketinggiannya”


Lalu beliau memulakan aksi belajar yang luarbiasa, orientasi belajarnya jelas untuk Islam dan kerana Allah telah menjadi pemacu kerajinan dan kesungguhannya. Alhamdulillah, Allah izin beliau mendapat keputusan Kelas Pertama dan dinobatkan dengan Anugerah Mahasiswa Kimia Cemerlang Malaysia pada tahun 1996. Ya, ternyata masih ada “hero” ummat di persada menara gading, tetapi takkan beliau seorang sahaja? Soekarno ada berkata tentang orang muda, berikannya 10 orang pemuda, nescaya dunia dapat digegarkannya. Sudah adakah 10 pemuda “hero” ummat itu?

Ada pula yang merungut, saya bukan seorang yang genius seperti Albert Einstein, mana mungkin saya boleh menjadi saintis yang hebat. Saya bukan dari kalangan Imam Malik dan Imam Syafie, mana mungkin saya boleh menjejak langkah seperti mereka. Saya bukan seperti Ibnu Sina, seusia 9 tahun sudah menghafal Al Quran dan seusia 18 tahun sudah bergelar Doktor Di Raja. Apa lagi ya alasan-alasan yang kita ada..

Kita Punyai Kekuatan

Pemuda muslim, jangan gusar. Selagi mana dirimu bergelar mahasiswa, bererti Allah SWT telah memberimu kecerdasan dan keupayaan untuk mencipta kejayaan bagi umat ini. Maka belajarlah, berusahalah, doronglah jiwamu, asahlah potensimu, bersungguhlah sehingga titik peluh akhir dan bertempurlah dengan jiwamu untuk melawan kemalasan dan kerendahan matlamat.

Yakinlah, kita adalah para pemuda yang hebat dan luarbiasa! Tidakkah anda merasai kekuatan itu? Sungguh, kita pemuda yang kuat kerana 3 perkara:

1.Kita adalah ummat Nabi Muhammad SAW yang graduan dari “universiti” baginda SAW telah melahirkan para pemuda yang hebat dan luarbiasa. Ikuti jejak langkah para pemuda itu, hayati cara hidup dan peribadi mereka. Kita bukan kehilangan contoh tetapi para pemuda kita dipedaya dengan serangan pemikiran sehingga yang hebat itu ditampilkan kalangan bukan Islam.

Pemuda dan mahasiswa islam, kita adalah orang-orang pilihan, masyarakat pilihan, intisari manusia, cream of the society dan yang terpenting kita adalah lambang kekuatan ummat dan amat diperlukan oleh umat untuk meneguhkan perjuangan Islam. Bagaimana mungkin kita menyamakan diri kita dengan pemuda atau mahasiswa biasa-biasa dan golongan yang suka bermain-main dan banyak tidur?

2. Suasana kita di kampus amat kondunsif untuk kita cemerlang dalam pengajian. Segala prasarana, kewangan, tenaga pengajar, teknologi maklumat, peralatan bantuan mengajar, e-library dan segala macam kemudahan berada di hujung jari kita. Kesemua itu adalah alat untuk membantu kita berjaya. Malulah kita kepada adik-adik muslim yang saat ini berada di kem-kem pelarian di sempadan Kenya-Somalia. Sahabat saya yang bermisi mendidik berbakti di sana mengirimkan gambar mereka belajar dalam keadaan serba dhaif, menulis atas papan kayu beralaskan pasir tapi masih tetap semangat. Sepatutnya peralatan dan kemudahan yang ada di sekeliling kita kuasai dan jangan sampai dikuasai. Hari ini pemuda pemudi kita dikuasai oleh teknologi sehingga teknologi memandu jadual hidup mereka. Yang sedihnya teknologi sudah menjadi ideologi baru generasi Y hari ini.

3. Islam memerlukan cerdik pandai untuk menjaga setiap penjuru Islam yang luas. Maka belajar dan kuasai walau apapun bidang anda. Islam tidak menyulitkan atau membebankan. Sebaliknya sebagai generasi kepimpinan masa depan, pilihlah bidang yang anda minati, hadapi, hayati dan nikmati. Banyak Jalan untuk memasuki kota kaherah dan Shan’a. namun Nabi Yaaqub AS sentiasa berpesan kepada putera-puteranya, “Wahai anak-anakku, masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlainan.”

Demikianlah, kita adalah antara pejuang-pejuang umat yang dinantikan di sebuah lapangan yang luas dan pintu masuknya sangat banyak. Yang perlu pada diri kita adalah keyakinan, percaya diri, pengorbanan dan kesungguhan. Yang penting kita mulakan langkah untuk memasuki pintu itu, bukan sekadar memeluk tubuh dan berterusan memberi alasan.

Perhatikan mereka ini…Ibnu Sina dinobatkan sebagai tokoh perubatan terhebat oleh barat, Ar Razi mengukuhkan Islam melalui kepakarannya dalam bidang farmaseutikal, Mimar Sinan (1538M) merupakan seorang arkitek yang merekacipta 360 struktur bangunan termasuklah 84 buah masjid, 51 buah masjid-masjid kecil, 57 buah sekolah, 7 buah madrasah untuk penghafal al-Quran yang dikenali sebagai darulkurra, 22 buah , 17 buah rumah api , 3 buah hospital, 7 buah jambatan , 48 buah rumah tumpangan, 35 tempat –tempat dan rumah penginapan yang besar, 8 buah bumbung melengkung dan 46 tempat takungan air / kolam mandi.

Sultan al Fateh terkenal dengan keluasan ilmu dan seni peperangan terhebat yang tidak pernah difikirkan oleh mana-mana komander perang. Al-Ibn al-Zarqiyali mahir dalam menentukan gerhana matahari dan telah mencipta sebuah kompas untuk menentukan jarak antara bulan dan bumi dan di antara bintang-bintang dan matahari, Mohammad Bin Musa Al-Khawarizmi (Meninggal 840 M), dikenali di Barat dengan nama Algorizm, terkenal dalam bidang ilmu matematik. Beliau adalah pengasas kepada ilmu algebra, malah nama algebra diambil bersempena dengan nama buku beliau Al-Jabr wal-Muqabilah.

Cat Steven @ Yusof Islam membenarkan dakwah ini melalui lagu dan muziknya, As Syahid Hasan Al Banna berjuang bersama angkatan ikhwan musliminnya sehingga terbina para pemuda yang komited dengan Islam, Jamaluddi al-Afghani dan Muhamad Abduh tokor pemikir gerakan Islam moden, M. Umer Chapra (1 Februari 1933, Bombay India) tokoh ekonomi kontemporer Muslim yang paling terkenal pada zaman moden ini di timur dan barat. Buku beliau, Islam and the Economic Challenge, di deklarasikan oleh pakar ekonomi Amerika, Profesor Kenneth Boulding, sebagai analisis terhebat dalam kajian kecacatan kapitalisme, sosialisme, dan negara maju serta merupakan sumbangan penting dalam pemahaman Islam bagi kaum Muslim mahupun non-Muslim terhadap ekonomi Islam. Pak HAMKA ulama yang warak lagi disegani dari bumi Indonesia. Sheikh Yusof al-Qhardhawi tokoh umat yang sentiasa proaktif mendepani permasalahan umat. SubhanAllah, ribuan lagi tokoh dan ilmuwan Islam mendidik dan berbakti dengan jujur menjaga penjuru-penjuru Islam. Kini giliran kita pula!

Bangkitlah Pemuda

Pemuda Islam, kini harapan di tangan anda, apakah anda mahu bersama kapal penggerak umat ini? Kata Hilal Asfraf, anak muda kreatif dan luarbiasa ini dan pengasas LangiIlahi.Com, “Irkam Ma’ana” – marilah menaiki bahtera kekuatan. Mari kita bersama dalam bahtera ini. Setiap kita bertanggungjawab menjaga penjuru-penjuru Islam yang luas ini. Ayuh mari kita persiapkan diri. Barangsiapa yang tidak bersiap untuk menguasai mana-mana penjuru dan tidak mahu menguasai suatu bidang yang menjadikannya sebagai “pembuat kehidupan”, sebaliknya memilih untuk menjadi mahasiswa membuang masa di depan skrin menonton movie, video game, facebook, atau bercinta di jalan yang keruh, maka bahtera kekuatan ini tidak akan menunggu anda, kerana kami yakin, di luar sana, masih ada ramai hati-hati yang serius dan bersungguh untuk menyertai bahtera ini.

Bangkitlah pemudaku, jangan asyik mempersalahkan orang lain, bangkit bukan untuk memberontak mencetuskan huru-hara, tapi bangkit untuk mencari redha Allah SWT, untuk membangkitkan Islam kembali, ilmu perlu dicari dan dikuasai untuk melaksanakan misi ini, tidak cukup dengan semangat, tapi semangat itu perlu. Bangkitlah untuk menyertai bahtera kekuatan.

Bangkitlah hai pemuda Islam, Kau tunas harapan penuh penantian. Wujudkanlah cita dan impian dengan kekuatan kita akan berjaya. Bergerak ke hadapan raih kemenangan, ya untuk meraih kemenangan..!

Bangkitlah, jangan menjadi tikus lagi, janganlah terus tidur lagi, janganlah terus bersikap aku-isme lagi, niatkanlah kerana Allah SWT, semoga Allah SWT mempermudahkan urusan kita, dan semoga ini tidak menjadi hanya retorik kosong, kepada yang membacanya, dan sudah tentu kepada yang menulis, semoga kita semua mendapat petunjuk dan hidayah-Nya, dan diberikan kekuatan.

Selamat beraksi!

1 comment

February 20, 2012 at 9:33 PM

"sesiapa yang menolong agama Allah, Allah akan menolongnya" bacalah ayat ini sebagai janji Allah akan membantu kita dengan mematuhi syariatullah dan sunnatullah. Doa, usaha, ikhtiar dan tawakal kena bergerak siringan...InsyaAllah, Islam akan kembali tegak.

Post a Comment