Wednesday, August 4, 2010

Motivasi: Ramadhan Kali Ini


Tinggal beberapa minggu lagi, umat Islam akan menempuh satu bulan yang  dilimpahi dengan penuh barakah. Pintu-pintu syurga terbuka luas dan pintu-pintu neraka tertutup rapat. Amalan kebaikan pula diberi ganjaran beratus kali ganda, manusia mana yang tidak terliur untuk merebut bonus sebegini lumayan. Bahkan syaitan yang selama ini tidak henti menggoda manusia akan dibelenggu sepanjang bulan ini. Maka tinggalah manusia dengan nafsu dan bi’ah (suasana/environment) di sekelilingnya.
Manusia dan nafsu
Manusia dan nafsu tidak dapat dipisahkan kerana nafsu menjadi kayu pengukur nilai keimanan seseorang insan. Manusia akan menjadi hina apabila dia mengikut hawa nafsu, apatah lagi menjadi hamba kepadanya,na’uzibillahi min zalik. Namun begitu, manusia itu menjadi cukup tinggi dan mulia apabila dia mampu mengawal nafsu dan mendorongnya untuk mencintai amal soleh. Oleh itu, nafsu haruslah dididik dan bulan Ramadhan menyediakan pakej yang lengkap untuk mentarbiyah nafsu. Bukankah berpuasa itu sendiri mampu melemahkan nafsu? Ya, sudah tentu. Akan tetapi, proses pentarbiyahan nafsu di bulan Ramadhan akan terencat apabila bi’ah di sekeliling tidak menggalakkan.
Ramadhan yang tipikal
Saban tahun, kehadiran bulan Ramadhan disambut lesu. Berapa ramaikah manusia yang melakukan persiapan fizikal, mental dan spiritual untuk melalui bulan Ramadhan seperti membanyakkan puasa di bulan Sya’aban dan berlatih bangun awal pagi untuk mengerjakan solat tahajud? Apa yang lebih menyedihkan sudah ada yang  melakukan persiapan satu Syawal sebelum satu Ramadhan.
Keadaan menjadi lebih parah apabila seseorang itu hidup di perantauan di mana masyarakat sekeliling langsung tidak mengetahui apa itu Ramadhan. Setiap detik yang berlalu ketika bulan Ramadhan dibiarkan begitu sahaja kerana tiada apa yang dirasakan istimewa melainkan lapar dan dahaga. Persediaan yang lemah menyebabkan manusia itu malas dan produktiviti pula menurun semasa bulan Ramadhan. Suatu suasana yang sangat kontradik dengan zaman para sahabat yang masih mampu mengangkat pedang walaupun perut mereka kosong ketika peperangan Badar Al-Kubra. Inilah suasana atau bi’ah yang merencatkan proses pentarbiyahan nafsu. Akhirnya, lahirlah manusia yang sama selepas bulan Ramadhan, tiada peningkatan, walaupun telah berpuluh-puluh tahun melalui bulan tarbiyah.
Manusia dan bi’ah
Seperti mana nafsu, bi’ah juga banyak mempengaruhi darjat seseorang. Manusia yang tenggelam dalam suasana masyarakat yang rosak akan dipandang hina. Sebab itulah Rasulullah s.a.w melarang manusia duduk bersama-sama orang yang melakukan maksiat kerana kemurkaan Allah pasti akan menimpa mereka jua. Maka, jauhilah perkara atau program yang melalaikan manusia daripada mempersiapkan diri untuk menjalani madrasah Ramadhan. Sebaliknya, manusia yang mampu merubah suasana masyarakat kepada bi’ah yang solehah akan beroleh kemuliaan di sisi Allah s.w.t. Mana mungkin mereka tidak mulia kerana mereka melakukan pekerjaan para nabi dan rasul. Justeru, manusia harus bekerja keras untuk membentuk bi’ah solehah yang benar-benar menghayati bulan Ramadhan agar proses pentarbiyahan nafsu berjalan lancar dan memberikan impak yang positif.
Ihya’ Ramadhan
Kerja-kerja menyeru manusia menghayati nikmat dan kelebihan Ramadhan haruslah bermula daripada sekarang. Wujudkan program-program Ihya’ Ramadhan di peringkat keluarga, jiran tetangga, sekolah, universiti dan pejabat. Jika tidak mampu menganjurkan program, bantulah orang lain yang sedang melakukannya. Jika tidak mampu membantu, maka jadilah penyokong atau peserta yang tidak jemu menghadiri program Ihya’ Ramadhan supaya bi’ah yang solehah dapat dibentuk dalam masyarakat Islam. Biarlah Ramadhan kali ini betul-betul merubah kita menjadi insan yang lebih bertaqwa kepada Allah s.w.t kerana tiada siapa pun tahu dia akan hidup hingga Ramadhan akan datang. Begitu juga tiada siapa yang tahu dia akan sempat bertemu dengan Ramadhan kali ini, tetapi biarlah sekurang-kurangnya usaha persiapan Ramadhan kita menjadi bukti di akhirat nanti.
Allahumma Barik lanaa fi Rajabin wa Sha`bana wa ballighnaa Ramadhan.
Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan bulan Sya’aban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.
Oleh: Khairil Afif Mahmud
Biro Pembangunan Sumber Manusia ISMA New Zealand
Sumber: Laman Web ISMA-New Zealand

1 comment

August 6, 2010 at 11:48 AM

Salam Jumaat.

Mcm mana nak dpt kawalan malaikat? Jom kita hayati bersama! ^_^

Post a Comment